Monday 16 July 2012

Definisi Bahan Bantu Mengajar


Definisi Bahan Bantu Mengajar
Thomas, R.Murray, Swartout, Sherwin G ( 1963)“ …hanya alat bantu mengajar yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu  pelajar memperolehi pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiahdan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan.”
Menurut Ngui Kuen Sang (1981: 35 )“ mengenai BBM, kita tidak dapat memberi takrif yang tetap walaupun padakeseluruhannya ramai pendidik menyetujui bahawa penggunaan BBM dalam situasi pengajaran pembelajaran adalah pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pandanganseseorang.”  Atan Long ( 1982: 174 )“ BBM terdiri daripada pelbagai bahan dan sesuatu bahan boleh disampaikan dengan pelbagai cara, misalnya dalam bentuk buku, carta, atau dibubuh pada slaid dan dipancarkanpada skrin. Alat-alat penyampaiannya dinamakan BBM.”
Penggunaan bahan bantu mengajar member sumbangan yang amat besar dalam mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru dan pelajar. Bahan bantu mengajar ini juga dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalam kaedah pengajaran guru yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman (OmardinAshaari, 1999).
Antara rasionalnya penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran ini adalah untuk mengetengahkan konsep. Ini bermaksud pelajar dapat
menyaksikan sendiri tunjuk cara dan bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru semasa
menyampaikan pengajaran dalam bilik darjah. Pengajaran guru akan lebih mudah dengan
penggunaan bahan bantu mengajar, lebih–lebih lagi bahan yang digunakan itu bersesuaian
dengan tajuk pelajaran yang disampaikan oleh guru. Antara lain rasionalnya adalah untuk
mencetuskan minat pelajar. Peralatan yang digunakan juga menjadi pengalak dalam
penyampaian pelajaran. Bahan bantu mengajar dapat mewujudkan suasana persekitaran yang
sesuai kepada pelajar. Jika bahan bantu mengajar digunakan dengan teratur semasa memberi
penerangan, pengajaran yang disampaikan akan mencetuskan minat pelajar.
Kamarudin Hj. Husin ( 1988: 242 )merumuskan kepentingan BBM seperti berikut:
 •memberi rangsangan dan minat murid-muird.
•menyediakan dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran dan
mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada murid-murid.
•membekalkan dasar perkembangan pembelajaran dan menjadikan pembelajaran mereka lebih kekal
•menyediakan pengalaman baru yang tidak diperolehi dengan mudah oleh cara-cara lain,
menjadikan pembelajaran murid-murid lebih mendalam dan beragam.

•dapat menguatkan kefahaman dan mempercepatkan perkembangan perbendaharaan
kata.
•ia mendorong murid-murid untuk menyiasat dan dengan demikian dapat menambahkan
lagi bacaan murid-murid.
Sebagairumusannya BBM adalah sangat penting kerana dapat:
•menjimatkan masa
•dapat mempelbagaikan kegiatan atau aktiviti-aktiviti murid-murid
•menyeronokkan murid-murid
 
Ciri-ciri Pemilihan Bahan Bantu Mengajar Yang Berkesan
                 Dalam penyesuaian bahan-bahan bahasa, guru perlu memastikan bahawa butir-butir dalam kandungan bahasa itu mengandungi unsur-unsur bahasa dan penerangan bahasa yang selari dengan kehendak kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia. Disamping itu, guru hendaklah juga memastikan bahawa aktiviti-aktiviti bahasa yang terdapat dalam bahan-bahan tersebut dapat membantu murid-murid membentuk kecekapan bahasa dan kecekapan berbahasa mereka. Semasa menyesuaikan semula bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian.
a)    Inspirasi dan kreativiti
Aspek ini hendaklah ditekankan oleh guru supaya bahan-bahan yang disediakan menggalakkan daya cipta dan kreativiti para elajar. Ini bermakna, daripada bahan-bahan itu, mereka dapat memanjangkan pandangan dan pendapat mereka, mendapatkan inspirasi mencipta idea-idea baru dan sebagainya.
b)   Menjadikan dialog bersifat komunikatif
Aspek ini ditekankan supaya pelajar-pelajar dapat peluang berinteraksi sesama sendiri dan menguasai kecekapan berbahasa.
c)    Menjadikan aktiviti pembelajaran releven dan berguna
Bahan-bahan pengajaran haruslah disesuaikan supaya ianya berkaitan dengan objektif pembelajaran dan memberi faedah kepada para pelajar apabila ianya dapat dikuasai.
d)   Mengadakan beberapa contoh yang praktikal
Bahan-bahan yang berupaya memberikan contoh-contoh yang praktikal membolehkan pelajar-pelajar memahami aspek-aspek pembelajaran dengan baik di samping dapat pula bekerja dalam konteks dan situasi yang bermakna.
e)    Memenuhi keperluan pelajar sama ada dari segi luaran dan psikologi
Dari segi luaran, bahan-bahan itu haruslah berguna dan dapat memenuhi keperluan belajar pelajar-pelajar. Ini bermakna, bahan-bahan itu harus boleh membantu para pelajar dalam kerjaya mereka atau membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang baik. Dari segi psikologi pula, bahan-bahan itu haruslah dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar terutama dari segi minat, kebolehan mental, umur, kecenderungan dan sebagainya.


Pembinaan Bahan-Bahan Pembelajaran
Pembinaan bahan-bahan pengajaran dilakukan setelah guru-guru dapat memilih dan mengolah bahan-bahan yang difikirkan sesuai untuk diketengahkan kepada murid-murid mereka. Sebenarnya ada banyak faktor yang harus dilibatkan dalam proses pembinaan bahan. Walau bagaimanapun, di bahagian ini, penulis hanya akan menekankan aspek kandungan bahan bahasa yang perlu diberi perhatian oleh guru-guru.
a)    Ketahanan
Alat dan bahan yang dibina atau dipilih itu haruslah sesuai dengan pelajar atau kelompok pelajar yang akan dijalankan supaya alat atau bahan tersebut boleh dipakai dalam jangka masa yang panjang ataupun boleh digunakan untuk murid-murid belajar sendiri.
b)   Kos
Bahan yang dibina atau dibeli hendaklah sesuai dengan kedudukan kewangan sekolah. Walau bagaimanapun guru-guru perlu ingat bahawa keberkesanan pengajaran bukan terletak kepada mahal atau murahnya bahan yang digunakan, malahan penggunaannya akan lebih bererti jika bahan tersebut dibina oleh pelajar-pelajar sendiri. Cara ini bukan sahaja memupuk daya cipta pelajar tetapi juga boleh menjimatkan bahan-bahan terpakai.
c)    Aspek-aspek Teknikal
Alat yang dipilih biarlah sesuai dengan kemudahan bilik darjah sama ada boleh digantung atau dilekatkan pada dinding atau boleh diancarkan ataupun boleh didirikan di atas meja atau sebagainya.
d)   Ketepatan Maklumat
Bahan yang dipilih hendaklah boleh memberi atau menyamaikan maklumat yang tepat kepada pelajar, misalnya akhbar, poster, rakaman, rancangan radio/tv dan sebagainya. Ketepatan maklumat juga diambil kira dari segi penggunaan warna dan ukuran saiz. Misalnya warna hijau untuk daun, biru untuk langit dan lain-lain.
e)    Mudah Alih
Guru juga harus memastikan sama ada alat yang diipilih itu digunakan di bilik lain atau tidak, ataupun adakah alat tersebut akan diedarkan dari satu kumpulan kepada kumpulan yang lain. Mudah alih juga bermaksud sama ada bahan tersebut boleh digunakan bagi keseluruhan pelajaran, atau bahagian tertentu sahaja, atau dalam keadaan tertentu.

f)     Saiz/Pengelolaan Kelas
Saiz kelas atau besar atau kecilnya kelompok pelajar yang terlibat juga perlu difikirkan semasa guru memilih alat pengajaran pembelajaran. Bahan yang boleh dilihat dari jarak jauh sesuai kelompok yang lebih besar. Di sini guru harus memikirkan di mana dan bagaimana bahan bahan tersebut akan digunakan, sama ada untuk kuliah umum di dewan, atau pengajaran biasa di bilik darjah, atau untuk pengajaran berkumpulan, atauun pengajaran individu.
g)   Jangka Masa
Guru juga perlu sedar tentang jangka masa pengajaran atau aktiviti itu akan dijalankan supaya alat atau bahan boleh digunakan semaksimum yang mungkin. Bagi waktu pengajaran yang pendek alat atau bahan yang mudah dikendalikan perlu digunakan supaya tidak berlaku pembaziran masa.
h)   Strategi Pengajaran Pembelajaran
Untuk strategi pengajaran pembelajaran bahasa guru harus menyesuaikan alat atau bahan yang dipilih dengan objektif pelajaran, taraf penguasaan bahasa pelajar, pengetahuan dan pengalaman pelajar, minat pelajar, dan situasi bahasa yang dirancang.
i)     Bentuk dan Fungsi
Istilah fungsi merujuk kepada proses menyampaikan maksud. Biasanya maksud disampaikan melalui bentuk-bentuk bahasa. (perkataan dan bunyi disusun mengikut peraturan-peraturan bahasa). Walaupun dalam keadaan-keadaan tertentu maksud boleh disampaikan melalui ‘non-verbal means’ tetapi penggunaan bentuk-bentuk bahasa adalah lebih kerap digunakan. Dalam hal ini, bahan-bahan engajaran haruslah dipilih daripada bentuk-bentuk bahasa yang dapat menyatakan fungsi. Bahan mestilah mengajar bentuk-bentuk bahasa kerana bentuk dan fungsi adalah dinyatakan melaluinya. Tanpa bentuk komunikasi verbal tidak akan berlaku.
j)     Ketepatan
Ketepatan bermaksud bagaimana bahasa itu dapat digunakan secara tepat, terutamanya yang berhubungan dengan fungsi dan konteks sosial. Ketepatan kadangkala disebut sebagai ketepatan konteks stilistik. Konsep ini berdasarkan daripada ‘communicative competence’ yang menekankan bahawa ada terdapat peraturan-peraturan penggunaan, tanpanya peraturan-peraturan tatabahasa adalah tidak berguna. Apabila kita menggunakan bahasa, kita harus dapat menerap situasi sosial. Kita harus dapat menyesuaikan bahasa yang digunakan dengan situasi ketika itu.
k)    Kepelbagaian
Kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa bertujuan mendedahkan kepada para pelajar beberapa variasi bahasa yang digunakan secara meluas dalam  masyarakat. Pengetahuan pelajar-pelajar terhadap variasi-variasi bahan membolehkan mereka memilih variasi-variasi yang sesuai untuk digunakan dalam konteks dan situasi-situasi tertentu.
           Kepelbagaian melibatkan variasi-variasi bahasa seperti dialek (kelas dan geografi), style (formal, neutral dan informal), laras (occupational register), dan medium (lisan dan tulisan). Dalam pengajaran dan pembelajaran bahan variasi-variasi bahasa seperti ini adalah penting untuk ketepatan stilistik.
l)     Kemahiran Bahasa
Aspek ini melibatkan kemahiran pada aras penerimaan iaitu kemahiran membaca dan mendengar dan kemahiran pada aras penglahiran iaitu kemahiran menulis dan bertutur. Aspek-aspek bahasa ini harus dilihat sebagai setiap bahagian yang berhubungan dan bukan terpisah-pisah sifatnya. Oleh yang demikian, kemahiran-kemahiran ini harus digabungjalinkan untuk mewujudkan satu strategi pembelajaran yang lebih bermakna.
m)  Standardisasi dan Simplikasi
Proses ini dilakukan untuk membolehkan guru mewujudkan bahan-bahan pengajaran yang dapat memenuhi keperluan para pelajar. Dalam proses ini, bahan-bahan tersebut disunting, diubahsuai selaras dengan kebolehan para pelajar. Biasanya melalui proses standardisasi, bahan-bahan akan disuaikan berdasarkan perbezaan umur dan jantina, perbezaan kawasan, perbezaan pendidikan dan sosial dan sebagainya.
n)   Penyerapan Nilai dan Pengetahuan
Satu unsur penting yang cuba diterapkan dalam pendidikan hari ini ialah penerapan nilai (moral) di dalam semua mata pelajaran. Melalui strategi ini, para pelajar bukan sahaja sekadar daat menambah pengetahuan baru tetapi juga mereka sentisa menyedari dan memahami tanggungjawab dan sumbangan pengetahuan yang dipelajari terhadap diri, masyarakat dan negara. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang mendokong semangat perpaduan dan kesejahteraan rakyat, maka unsur-unsur yang bertentangan dengan cita-cita dan semangat tidak sepatutnya wujud dalam sebarangan pengajaran yang digunakan.


3 comments:

  1. saya rasa anda dah tersilap antara ABM dan BBM

    ReplyDelete
  2. salam
    saya ingin tahu..pada pendapat tuan, lembaran kerja dan lembaran nota ringkas yang diedarkan oleh guru semasa mengajar, adakah ia juga diambilkira sebagai bahan bantu mengajar?

    ReplyDelete
  3. boleh tak saya dapatkan sumber rujukan anda, saya nak cari buku tu...TQ

    ReplyDelete